Pencapaian wanita dalam pelbagai bidang sejak abad lalu telah melalui satu perjalanan yang sangat jauh, penuh dengan ranjau, onak dan duri. Wanita di negara maju memperoleh keadaan lebih baik kerana mereka telah berjuang lebih awal untuk mendapatkan hak dan memastikan kepentingan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan pekerjaan diberi pengiktirafan oleh kerajaan, institusi dan masyarakat yang umumnya bersifat patriarchical.
Bagi wanita di negara-negara sedang membangun, gerakan dan perjuangan wanita berterusan untuk memastikan kebajikan mereka dijaga dan akses diperoleh dalam pelbagai bidang yang didominasi oleh lelaki. Pun begitu, nasib dan kedudukan wanita dikebanyakan negara Asia, Latin Amerika dan Afrika masih menyedihkan. Mereka berada dalam keadaan yang cukup daif, dibelenggu kemiskinan, kebuluran, tiada akses kepada kemudahan pendidikan, perkhidmatan perubatan dan kesihatan, atau perlindungan perundangan.
Malah wanita dan kanak-kanak terus menerus menjadi mangsa perang dan keganasan. Di Bosnia, Somalia, PAlestin, Afghanistan, Sudan, Iraq, Filipina, Indonesia dan banyak negara Amerika Selatan, wanita terdedah kepada pelbagai keadaan yang cukup sengsara.
Ramai antara kita yang masih mengingati Bibi Aishah. Wajah beliaulah yang terpampang dengan muka berlubang tanpa hidung di muka depan TIME edisi 9 Ogos tahun lepas. Potret itu memenangi Anugerah Foto Press Terbaik Dunia. Bibi Aishah berumur 18 tahun, telah lari meninggalkan rumah suaminya kerana tidak tahan didera dan dipukul.
Puak Taliban telah mencari beliau di kampungnya di Wilayah Oruzgan di Afghanistan dan menuntut beliau diserahkan untuk mengadap pengadilan. Sebaik hukuman dijatuhkan, abang iparnya mengikat beliau sementara suaminya bertindak memotong kedua-dua telinga dan hidungnya.
Beliau terus ditinggalkan, tetapi mujur dibantu beberapa pekerja sukarela yang membawanya ke sebuah rumah perlindungan di Kabul. Dari situ beliau dibawa ke luar negara untuk pembedahan menyambung hidung dan menjalani kaunseling. Dia mengatasi trauma dan kini membina hidup baru di Amerika Syarikat.
Di negara seperti Afghanistan, Pakistan dan India, banyak kisah yang menyerupai cerita Bibi Aishah. Malah, hari ini dianggarkan 7,000 hingga 10,000 wanita mati setiap tahun akibat keganasan rumah tangga. Dalam banyak kes, yamg membunuh dan mencederakan mereka adalah bekas suami atau pasangan mereka sendiri.
Kajian penyelidik University of North London turut mendapati bahawa ribuan kanak-kanak dan remaja perempuan mati setiap tahun kerana dirogol orang yang dikenali. Kajian yang meliputi negara-negara Eropah (UK, Jerman, Sweden, Norway, Sepanyol, Perancis, Belgium), Australia dan India mendapati 95 peratus jenayah penderaan seks dilakukan oleh lelaki.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seorang daripada setiap tiga wanita pernah mengalami atau menjadi mangsa keganasan domestik dalam hidup mereka. Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia, 10 laporan penderaan fizikal, emosi dan seks diterima setiap hari.
Jumlah kes yang dilaporkan pada 2007 ialah 3,756 dan pada 2008 sebanyak 3,769 kes. Pada 2009, bilangan kes yang dilaporkan ialah 3,643 manakala antara Januari dan Julai 2010, sudah sebanyak 1,872 kes. Statistik polis juga menunjukkan seramai 9,575 kanak-kanak perempuan menjadi mangsa rogol antara tahun 2005 dan 2010.
Dalam kes HIV misalnya, 18-20 peratus penghidap penyakit ini di Malaysia adalah wanita, namun tidak ramai yang tahu bahawa setakat ini masih belum ada program yang komprehensif untuk menghalang infeksi HIV dalam kalangan wanita.
Di Kelantan, lebih 700 wanita dijangkiti HIV kerana suami mereka. Apa yang menyedihkan, mereka tidak tahu bahawa bekas suami merupakan penghidap HIV semasa berkahwin dulu. Kesemua mereka kini ialah janda yang didiagnosis menghidap HIV positif. Mereka telah menubuhkan persatuan untuk mendapat pembelaan.
Sudah tentu, ini satu keadaan yang tidak boleh diterima, apatah lagi dalams sebuah negara Islam yang menuju ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Statistik yang dipaparkan ini menuntut kesedaran masyarakat mengenai keadaan yang masih perlu diperbetulkan, termasuk perubahan dari segi sikap, prejudis, perundangan dan persekitaran budaya yang lebih baik dan selamat untuk wanita.
Kerana itulah perjuangan wanita untuk wanita belum selesai.
No comments:
Post a Comment