Popular Posts

Friday, 8 April 2011

Memperkasa peranan media sebagai pemberi amaran

Tragedi melanda Jepun yang menggemparkan dan meraih simpati dunia baru-baru ini amat dirasai. Bermula dari gempa bumi, kejadian ombak besar tsunami dan terkini perkembangan dedahan sinaran yang diukur di beberapa lokasi stesen loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi, Jepun menunjukkan kadar yang tinggi daripada normal dan membimbangkan.


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia, berusaha sedaya upaya memberikan maklumat terkini dan terperinci melalui siaran akhbar dan laman sesawangnya tentang isu keselamatan umum.


Laporan media tempatan dan antarabangsa berkenaan isu yang mendapat perhatian antarabangsa ini amat penting dalam mewujudkan kepekaan dan persediaan yang bakal digerakkan apabila berlaku musibah. Oleh yang demikian, organisasi media, khususnya di negara ini perlu melengkapkan diri tentang bentuk laporan yang terbaik kepada pembaca, penonton atau pendengar.


Dalam kes ini, kerjasama dan peranan yang amat penting ditagih daripada Mosti, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia dan organisasi media yang terlibat dalam melapor dan menyediakan bahan berita serta informasi yang mudah difahami umum.


Gabungan tenaga antara Mosti, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia bersama-sama pihak media amat penting dalam siaran berita serta informasi berkenaan isu perkembangan dedahan sinaran yang berlaku.


Wakil daripada organisasi media yang perlu bertugas perlu melengkapkan diri dengan nilai tambah ilmu pengetahuan mereka berkaitan isu terkini melalui pembacaan, perbincangan serta bantuan yang diberikan Mosti, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia. 


Gesaan dan saranan yang dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar kerajaan menghentikan segera idea pembinaan loji nuklear dan empangan besar untuk menangani krisis tenaga perlu dipandang serius.


Dalam konteks agama Islam, Allah melarang sekeras-kerasnya umat-Nya terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan kesihatan diri dan masyarakat umum. Sebagai umat yang bertakwa dan beriman, wajib percaya dan menerima amaran tersebut tanpa perlu berdolak-dalik lagi.


Media massa berperanan menyalurkan maklumat, pendidikan, memujuk selain menghiburkan kumpulan sasarnya. Selain itu, media massa yang matang perlu berperanan sebagai medium pemberi amaran bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat terhadap sesuatu ancaman. Ancaman yang dimaksudkan dalam hal ini adalah dedahan sinaran stesen loji kuasa nuklear.


Tragedi demi tragedi yang menimpa dunia perlu diambil iktibar oleh setiap manusia agar lebih berfikir panjang dan berwaspada  atas musibah yang diturunkan oleh Yang Maha Esa. Masyarakat yang berfikir dan bermuhasabah diri akan mencapai kejayaan jika dapat bertindak secara lebih rasional dengan memikirkan keselamatan diri dan kemaslahatan masyarakat sekitar amnya.


Sebarang bentuk peringatan tentang sesuatu isu terkini perlu diperluas penyebarannya oleh media massa, sama ada elektronik mahupun cetak. Dalam hal ini peranan media amat penting dalam membantu memberikan peringatan terhadap sesuatu ancaman atau kecemasan agar masyarakat tidak menerima tempias secara langsung daripada sebarang bencana. Kesannya, masyarakat akan lebih bersedia akan sebarang kemungkinan dan redha apa yang ditentukan setelah berusaha dan berihktiar untuk mengelakkan sebarang punca kepada musibah.


Media massa menetapkan agenda dalam setiap laporannya, sama ada melalui berita, kempen kesedaran sosial, rancangan di televisyen mahupun radio. Namun, setiap apa sahaja mesej yang disampaikan kepada masyarakat perlu difahami dan berlaku tidak balas atau respons tertentu oleh kumpulan sasaran tertentu.


Oleh yang demikian, mesej yang diterima oleh masyarakat bergantung pada pemahaman dan tafsiran mereka tersendiri dan bergantung pada sesuatu isu yang diketepikan. Media massa tidak lagi terlibat dalam mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh masyarakat keseluruhannya.


Dalam keadaan ledakan maklumat dewasa ini, masyarakat lebih peka dan bijak dalam membuat analisa dan keputusan dalam setiap laporan dipaparkan media massa. Mereka lebih aktif memilih saluran yang ingin dijadikan sebagai 'santapan minda', sama ada media elektronik, cetak dan media baru (teknologi maklumat). Jadi, masyarakat massa akan lebih terarah kepada sesuatu isu yang mereka gemari untuk dibaca, ditonton dan didengar hasil daripada pemilihan sumber media.


Penulis asal: Pensyarah Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Melaka.

No comments:

Post a Comment