Popular Posts

Tuesday, 5 April 2011

Jemput anak punca emosi

'Setiap seorang daripada 10 pemandu wanita marah di jalan raya'


KUALA LUMPUR - Masalah keluarga termasuk urusan mengambil dan menjemput anak di pusat jagaan kanak-kanak setiap hari mungkin antara faktor pemandu wanita lebih beremosi di jalan raya.


Pakar Psikologi Universiti Malaysia Sabah, Dr. Mohd. Dahlan A. Malik berkata, kajian mendapati golongan Hawa lebih cenderung memikirkan hal berkaitan keluarga mereka berbanding lelaki termasuk ketika memandu.


"Memang lumrah golongan wanita sangat mengambil berat hal keluarga sehingga mengganggu emosi mereka ketika memandu.


"Sebagai contoh, mereka akan fikir mengenai keadaan anak-anak yang ditinggalkan sewaktu mereka bekerja setiap masa dan bergegas balik untuk menjemput anak masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo!.


Beliau berkata demikian mengulas dakwaan mengatakan ramai pemandu wanita di Malaysia memandu secara merbahaya.


Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin di Parlimen juga mendakwa golongan wanita kerap tidak mempedulikan keadaan sekeliling ketika memandu di jalan raya.


Sikap itu, kata Bung Mokhtar menyebabkan pemandu lain turut terdedah kepada risiko kemalangan.


Kenyataan wakil rakyat itu seterusnya menimbulkan polemik sehingga menyebabkan ramai pihak membantah dakwaan berkenaan.


Mohd. dahlan seterusnya memberitahu, faktor gangguan emosi sangat mempengaruhi wanita terutama ketika memandu malah ia lebih kerap bermain di dalam fikiran mereka berbanding masalah kesesakan jalan raya.


"Rata-rata pemandu wanita merupakan pemandu yang sangat berhati-hati, cuma mereka cepat panik sahaja. Keadaan itu kadangkala menyebabkan mereka bertindak di luar jangkaan.


"Tindakan luar jangkaan itu menyebabkan kemalangan jalan raya sering berlaku," katanya.


Mengikut kajian katanya, setiap seorang daripada 10 pemandu wanita cenderung untuk marah ketika di jalan raya berbanding pemandu lelaki dan ia juga ada kaitan dengan faktor emosi.


Bagaimanapun kesimpulannya, pemandu wanita memang beremosi berbanding lelaki tetapi ia bukan punca utama kemalangan.


Pemandu wanita kurang mahir - Miros


Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mengesahkan wanita mempunyai kekurangan dalam keupayaan spatial (ruang dan jarak) berbanding lelaki terutama ketika memandu di jalan raya.


Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, rata-rata pemandu kaum Hawa akan bertindak terlalu berhati-hati sehingga mengundang risiko kemalangan.


Ia termasuk sewaktu mereka memandu untuk melintas persimpangan yang tidak mempunyai lampu isyarat, memotong dan ketika meletakkan kenderaan.


"Keadaan ini berbeza dengan lelaki kerana mereka berupaya dalam psikomotor (kemahiran) yang tinggi berbanding wanita namun boleh menyebabkan lelaki mempunyai sikap terlebih yakin seperti memandu laju an merbahaya," ujarnya kepada Kosmo!.


Satu lagi, menurut Ahmad Farhan, wanita juga suka melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa seperti bersembang ketika memandu selain terdorong berfikir perkara lain selain sehingga mengganggu tumpuan di jalan raya.


Bagaimanapun, menurutnya, statistik masih menunjukkan lelaki menjadi mangsa terbanyak terlibat dalam kemalangan berbanding wanita.


"Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia yang dianalisis oleh Miros pada tahun 2009, kemalangan jalan raya melibatkan pemandu lelaki ialah 2.4 lebih tinggi daripada pemandu perempuan di mana terdapat 244,336 kes yang melibatkan pemandu lelaki berbanding pemandu wanita iaitu 103,153 kes sahaja," jelasnya.


Malah berbanding statistik yang sama pada tahun 2006, pemandu lelaki terlibat dalam kemalangan jalan raya telah meningkat sebanyak 67.93 peratus manakala kaum wanita telah meningkat dua kali ganda iaitu 97.74 peratus.


"Apa pun, statistik tidak menunjukkan sama ada pemandu lelaki mahupun perempuan menjadi punca kemalangan namun risiko kemalangan jalan raya tetap ada dan ia tidak mengira jantina," katanya.


INFO SIKAP PEMANDU LELAKI DAN WANITA KETIKA MEMANDU


Sikap Wanita:


Wanita lebin cenderung menukar lorong secara tiba-tiba dan merbahayakan orang lain


Membuat pusingan U secata tiba-tiba, tanpa memikirkan akibatnya kepada orang lain


Memberhentikan kereta secara tiba-tiba dan meletak kereta sesuka hati hingga menghalang laluan


Bersifat pelindung kerana mereka ialah pbu. Oleh itu mungkin mereka pentingkan diri sendiri bila berada di jalan raya, misalnya tidak beri laluan kepada kereta lain


Lebih bersikap berhati-hati dan mereka bergerak lambat pada jalan lapang dan tidak banyak kereta menyebabkan gangguan kepada pemandu lain


Sikap Lelaki:


Pemandu lelaki tiga kali ganda lebih cenderung menekan hon apabila kenderaan di depannya dipandu terlalu lambat berbanding perempuan


Pemandu lelaki dua kali ganda melanggar peraturan jalan raya berbanding pemandu perempuan. Malah, sebanyak 83 peratus pemandu lelaki cenderung menunjukkan perangai memandu laju manakala perempuan hanya sebanyak 17 peratus


Lelaki lebih cenderung memandu dengan tujuan mencari sensasi iaitu menunjuk kepada rakan sebaya dan orang ramai mengenai kemahirannya memandu di jalan raya.


Sumber: 
Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor
Pakar Pengangkutan Awam dan Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan, Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia



No comments:

Post a Comment