Popular Posts

Wednesday, 27 April 2011

Penjagaan kulit ekzema

EKZEMA merupakan sejenis penyakit genetik yang dikaitkan dengan sistem pertahanan diri seseorang yang bertindak balas secara serius terhadap punca yang mengakibatkan alahan. Ini menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan, gatal dan rasa pedih.


Bagi ekzema pada tahap ringan kesederhana, masalah ini mengakibatkan kulit kering, panas dan gatal, manakala dalam kes-kes yang serius, ia menjadi merekah dan boleh mengakibatkan pendarahan. Menurut pakar-pakar dermatologi, permintaan untuk rawatan ekzema di Malaysia meningkat sebanyak 20 peratus sejak tahun 2001 terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.


Ekzema atopik diramalkan akan memberi kesan sehingga 14 peratus kepada kanak-kanak yang menunjukkan risiko berkaitan dengan atopi seperti demam alergi dan asma.


Beberapa faktor-faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes adalah seperti peningkatan suhu dan kelembapan disebabkan perubahan cuaca.


Lain-lain faktor termasuklah pencemaran alam sekitar, pelbagai bahan tambahan kimia, bahan cuci kasar, logam dan kosmetik yang boleh mendatangkan kesan alergi kepada individu yang mudah menghidap ekzema.


Trend ini juga dikaji di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Peningkatan kes ekzima mempunyai kesan besar kepada kos kesihatan. Melainkan mereka yang mempunyai risiko seperti kanak-kanak mempunyai pelan pengurusan jangka panjang, permintaan bagi rawatan akan terus meningkat oleh kerana kemungkinan pengulangan keradangan walaupun setelah dewasa.


Kaji selidik yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa 23  peratus daripada individu yang menghidap dermatitis atopi tidak menggunakan pelembap dan 29 peratus tidak menggunakan pencuci yang sesuai.


Kemungkinan ia juga berlaku di Malaysia dengan mengenal pasti dan menghindari penggunaan produk penjagaan kulit tidak sesuai, ahli keluarga dan individu boleh mencapai pengawalan ekzema untuk jangka masa panjang yang juga boleh mengurangkan perbelanjaan mereka dalam penjagaan kesihatan.


Petua untuk menjaga kulit ini

  • Hadkan penggunaan produk isi rumah
          - Sebaik-baiknya elakkan penggunaan produk isi rumah seperti pembersih, detergen, losen selepas mencukur, sabun gasolin dan turpentin. Produk seperti ini cenderung menyebabkan iritasi kulit.

  • Pakai sarung tangan 
          - Sarung tangan plastik atau vinil boleh melindungi kulit daripada terdedah kepada bahan-bahan yang berupaya menjejaskan kesihatan kulit.

  • Kain kapas atau kombinasinya
          - Fabrik bulu atau sesetengah tekstil sintetik boleh menyebabkan iritasi kulit. Mereka yang mempunyai kulit sensitif akan berasa lebih selesa mengenakan pakaian yang diperbuat daripada kapas atau kombinasi kapas.

  • Sewaktu mandi
         - Mandi dengan hanya menggunakan sabun lembut tanpa pembersih yang boleh digunakan dengan atau tanpa air. Kekalkan suhu air pada kadar dingin atau suam dan bukan panas. Berendam dalam tab mandi untuk seketika adalah baik untuk kulit. Ini kerana lapisan luar kulit boleh menyerap air dan mengelakkan kekeringan. Seboleh-bolehnya rendam selama 15 hingga 20 minit. Kemudian, gunakan tuala lembut untuk mengelap kulit. Jangan sesekali menggaru kulit. Sebaik sahaja selesai mencukur, sapukan pelembap pada kulit  anda. Ini dapat mengekalkan tahap kelembapan kulit.

  • Amalkan ubat doktor
         - Apabila keadaan ekzema anda sudah bertambah buruk, gunakan ubat yang diberikan doktor. Jika perlu, dapatkan nasihat doktor segera sekiranya keadaan masih tidak pulih selepas tiga minggu ubat itu digunakan.

  • Losen pelembap
         - Menjadikan kulit lebih lembut dan fleksibel. Elakkan pelembap yang mengandungi pewangi dan pelbagai bahan tambahan. Bentuk krim ini sesuai untuk kulit bermasalah khasnya kulit kanak-kanak. Ini kerana kandungannya yang tidak berminyak dan mengandungi agen anti keradangan yang sesuai dengan kesan pelembap dan boleh memanfaatkan kulit ekzema. Amalkannya setiap hari.

  • Menggaru
         - Elakkan daripada menggaru kawasan yang terdedah biarpun gatal. Menggaru boleh menyebabkan kulit merekah. Sebaliknya, gunakan pelembap untuk manangani kegatalan tersebut. Memakaikan sarung tangan pada bayi mereka bagi mengelakkan si kecil daripada menggaru.

  • Berpeluh
         - Kepanasan atau berpeluh melampau boleh mengakibatkan kegatalan kulit. Jika boleh, elakkan aktiviti yang boleh membuatkan anda berasa terlalu panas dan berpeluh secara berlebihan.

  • Tekanan
          - Belajarlah cara untuk mengenal pasti dan berdepan dengan tekanan. Teknik pengurangan tekanan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasi masalah ini daripada bertambah buruk.

  • Penjagaan khas
         - Bahagian yang terjejas akibat ekzema akan mudah menerima kesan iritasi. Ini bermakna penjagaan khas masih diperlukan.

No comments:

Post a Comment