Popular Posts

Thursday, 14 April 2011

Sikap plastik mungkin bawa padah

"LELAKI control macho (kejantanan), wanita mantain ayu (jaga keayuan)"


Perlukah kita menjadi orang lain ketika membuat janji temu pertama? Apa kesan jika si wanita atau lelaki menunjukkan sikap dan karakter sebenar pada pertemuan pertama? Mungkin bimbang atau tidak yakin, bimbang tidak diterima, tidak mampu menawan hati pada janji temu pertama, masing-masing terpaksa bersikap plastik dan menjadi orang lain bagi menyembunyikan perangai sebenar walaupun hakikatnya, perangai sebenar itu selalunya lebih menawan.


Pertemuan pertama sebelum menjalin hubungan istimewa selalunya lebih manis. Baik lelaki mahupun wanita masing-masing biasanya akan menunjukkan sikap pura-pura, bukan berniat untuk menipu atau menyembunyikan kebenaran tetapi bagi menjaga tingkah laku, tertib, budi bahasa, sopan dan yang paling utama, penampilan.


Kalau menunjukkan sikap sebenar mungkin janji pertama akhirnya menjadi janji temu terakhir. Tidak mustahil, terutama wanita akan berusaha untuk tampil anggun dan bergaya dengan pakaiannya selain ditambah solekan wajah.


Ketika di meja makan pula, ada yang makan terlalu perlahan supaya tidak dikatakan gelojoh. Cara berjalan pula, kalau boleh nak ikut cara Miss Universe berjalan, cara bercakap juga ala-ala penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza yang manis berbicara, nampak sopan serta lemah lembut.


Lelaki pula, berlagak seakan gentleman, macho pada pertemuan pertama. Sanggup bukakan pintu kereta dan menarik kerusi untuk si wanita sebelum duduk di meja makan malah menghadiahkan jambangan bunga. Tetapi, apabila sudah lama kenal dan menjadi wanita teman istimewa, tidak ramai yang mengekalkan sikap lelaki budiman ini.


Sila buka pintu sendiri, nak makan tariklah kerusi sendiri, jauh sekali menghadiahkan bunga. Berbahasa pun tiada lagi keluar ayat berbunga.


Mungkin ramai yang bersikap begini pada pertemuan pertama kerana tidak mahu memberi tanggapan buruk kepada orang yang ditemui. Namun, sikap plastik ini tidak boleh diteruskan atau ia akan membawa padah menjadi padah kepada diri sendiri, pasangan dan pastinya, hubungan.


Ada yang beranggapan tidak perlu terlalu mengawal sehingga bersikap plastik, walaupun pada pertemuan pertama. Lebih baik menjadi diri sendiri dan biarkan kenalan baru mengenali kita yang sebenar-benarnya serta menerima kita seadanya.


Tidak salah jika kita menampilkan karakter sebenar tanpa berpura-pura. Namun, masing-masing ada cara dan alasan tersendiri. Rata-rata mereka yang berpengalaman dalam janji temu pertama mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak menunjukkan karakter sebenar. Lumrah janji temu pertama, sudah tentu kita mahukan kenalan menerima kita pada pandangan pertama.


Wanita Sila Jauhi.....

  • Lelaki yang inginkan temannya mirip bekas kekasih
         Melalui fasa sedih akibat putus cinta sering membuatkan lelaki mengambil tindakan mencari teman baru. Mereka juga cenderung membandingkan teman wanita baru mereka itu dengan bekas kekasih lama. Sebaiknya siasat dulu adakah dia sudah benar melupakan bekas kekasihnya itu atau sebaliknya.



  • Lelaki yang sering menghilang
          Lelaki seperti ini sering menghilangkan diri dengan alasan terpaksa menyempurnakan tugas penting di pejabat atau membatalkan janji temu anda bersamanya secara tiba-tiba. Bagi yang berpacaran dengan jejaka ini, sebaiknya berhati-hati kerana mereka mungkin memiliki pacar atau sudah beristeri.

  • Lelaki yang terlihat terlalu sempurna
          Lelaki yang tergolong dalam kategori lelaki seperti ini biasanya berkereta mewah dan mempunyai penampilan menarik seperti orang kaya. Bagi wanita di luar sana, jangan terburu-buru menghampiri lelaki seperti ini. Bukan apa, bimbang lelaki seperti ini berselindung di sebalik imej kerana mempunyai niat buruk di sebaliknya.

  • Lelaki yang tidak beretika
          Lelaki jenis ini sering mengajak teman wanitanya bertemu di lokasi yang berhampiran dengan rumahnya. Sudahlah begitu, teman wanitanya itu juga disuruh supaya datang sendiri dengan teksi. Jika ini terjadi, putuskan segera hubungan anda dengannya. Tiada gunanya anda berpacaran dengan lelaki seperti ini kerana selain tidak bertanggungjawab, dia juga mungkin mempergunakan teman wanitanya sendiri demi kepentingan dirinya suatu hari nanti.

  • Lelaki yang tangannya ramah!
          Baru beberapa kali bertemu, si dia sudah berani menyentuh tubuh teman wanitanya. Apabila ditegur, dia berlagak selamba sambil memberi pelbagai alasan yang tidak mampu diterima akal. Jangan sekali-kali berdampingan dengan lelaki seperti ini. Lebih baik lupakan saja niat untuk terus berkawan dengannya.

Seru Semangat Nenek Moyang Melayu Pulih Pesakit

"Bomoh Cina Peranakan turut guna kaedah menurun sambil diiringi lagu Ulik Mayang"

"DIMULAKAN dengan bacaan Iqra dan Insyaallah penyakit yang diubati mampu dirawat." Agak pelik mendengar kalimah itu dilafazkan bomoh Cina di Kota Bharu, Kelantan. Lebih pelik apabila kaedah perubatannya juga unik.

Boleh dikatakan proses perubatan diamalkan Gan Choo Eng atau lebih dikenali sebagai Nek Soh banyak menggunakan elemen perubatan bomoh Melayu. Ia bukan sekadar mantera tetapi peralatannya juga langsung tidak menggunakan cara perubatan orang Cina.

Sepanjang sesi perbualan dengan penulis, Nek Soh seperti keadaan separuh sedar. Gaya pertuturannya sekejap kuat dan sekejap perlahan. Kadangkala kedengaran tersekat seperti ada dua watak dalam tubuhnya. Mata Nek Soh ada ketika luas dan ada ketikanya redup seperti merenung dari alam lain.

Pada mulanya, penulis menyangka sedang berbual dengan Nek Soh tetapi apabila dijelaskan ketika itu tubuhnya dimasuki Nenek Dusun Raja, meremang bulu roma kerana rupa-rupanya sesi perbualan itu bukan sekadar berlaku sesama manusia. Patutlah sepanjang perbualan lebih dua jam itu, isteri Nek Soh tidak henti-henti memainkan lagu Ulik Mayang seakan-akan muzik latar mengiringi sesi itu kerana ia dikatakan semangat untuk menjemput makhluk lain menumpang badannya untuk berkongsi maklumat.

Kaedah perubatannya menyerupai ciri misteri dalam wayang kulit, Ulik Mayang dan menora. Oleh itu setiap kali mengubati pesakit, lagu daripada tiga seni itu dipasangkan bergantung kepada jenis penyakit.

"Lagu ini ada semangat, bukan saja-saja dipasang. Ketika pesakit dirawat, lagu ini menjemput roh nenek moyang atau makhluk alam lain memberi ketenangan kepada pesakit. Jika hati dan jiwanya tenang, lebih mudah membuang penyakit.

"Setiap penyakit ada kaitan dengan otak. Jika pesakit dapat diyakinkan semua masalah boleh diredakan, ia pasti menyembuhkan penyakitnya. Sejak dulu saya gunakan muzik ketika merawat dan ia berkesan," katanya.

Kebanyakan penyakit dirujuk kepada Nek Soh selepas gagal rawatan di hospital. Biasanya ia membabitkan masalah lemah semangat dan perkara berkaitan jiwa. Banyak juga kes membabitkan hubungan rumah tangga yang retak akibat benci antara suami isteri dan anak.

"Ada juga kes pesakit terserempak ular dalam rumah." Tiba-tiba perbualannya terhenti agak lama, menundukkan kepala dan sesekali kelihatan menggeleng-geleng. Sesekali pula beliau berdehem dan menyambung ceritanya dengan nada suara berbeza.

"Ular itu mungkin betul atau jelmaan. Selepas itu, setiap malam dia tidak boleh tidur dan asyik teringatkan ular tadi. Jadi Nek Soh gunakan lagu Wayang Kulit atau Ulik Mayang pulihkan semangatnya. Ulik Mayang digunakan untuk memanggil puteri datang berdamping dan diberi semangat kepadanya. Nek Soh juga yakinkan pesakitnya mengenai qada dan qadar. Semua penyakit ada ubatnya dan sudah ditentukan. Apa yang penting, pesakit perlu yakin untuk dipulihkan," katanya.

Menurut Nek Soh, dalam proses perubatannya, ada tujuh beradik nenek moyang digunakan dan mereka dipanggil bergantung kepada jenis penyakit. Sebagai contoh, jika masalah membabitkan wanita mengandung, Nenek Bidan dipanggil untuk berdamping bagi membantu proses perubatan.

Nek Soh juga mengubati pelbagai penyakit termasuk strok, masalah perniagaan, naik pangkat dan kebanyakan kakitangan kerajaan juga mendapatkan khidmatnya untuk lebih maju dalam kerjaya. Beliau tidak membuat minyak pengasih tetapi mampu memulihkan mereka yang terkena ubat pengasih.

Nek Soh pandai mengurut tetapi caranya berbeza kerana menggunakan tenaga dalaman dan bacaan khusus. Ia tidak menekan sendi atau membetulkan urat seperti tukang urut lain, tetapi menggunakan dampingan makhluk lain untuk melakukan urutan cara halus.

"Selain nenek, ada tujuh datuk turut dipanggil untuk membantu proses perubatan. Antaranya, Tuk Merah, Tuk Hijau, Tuk Biru, Tuk Putih dan beberapa lagi. Mereka datang dari satu lokasi yang tidak boleh didedahkan tetapi kebanyakannya di gunung seluruh negara seperti Jerai dan Ledang.

"Semua datuk dan nenek yang mendampingi saya beragama Islam dan Melayu," katanya sambil mengambil keris di dinding sebagai persiapan memanggil Tok Guru, datuk paling besar dalam kebanyakan proses perubatannya.

Difahamkan bukan perkara pelik melihat seorang Melayu memasuki rumah bomoh cina, mungkin kerana rasa selesa melihat kaedah perubatannya. Dalam proses rawatan Nek Soh, tiada bayaran ditetapkan. Pengerasnya sekadar RM24 dan selebihnya terpulang kepada pesakitnya. Operasi rawatan diadakan Ahad, Selasa dan Khamis bermula jam 8 malam hingga 1 pagi.

"Rawatan boleh dibuat setiap hari tetapi kasihan pula cucu Nek Soh ini. Penat dia melayan pesakit," katanya yang difahamkan hanya menjadi perantara ketika itu antara Nek Soh alam ghaib dengan penulis.

Sedang kami leka mendengar alunan Ulik Mayang yang memecah keheningan malam, tiba-tiba Nek Soh yang baru selesai mengubati tiga pesakit menepuk lantai dan dilihat melilit kain di kepala serta pinggangnya sambil menyarungkan dua keris di sisi. Pandangannya seperti ke kiri kanan dan sesekali seakan mengangguk mengikut alunan Ulik Mayang. Isteri Nek Soh meminta kami menghayati lagu itu untuk mengetahui mengapa semangat alam ghaib dipanggil untuk rawatan.

Penulis diminta berdepan dengan Tok Guru yang ketika itu dalam tubuh Nek Soh dan selepas bersalaman, dia bertanya tujuan ke situ. Suaranya sedikit garau dan pandangan matanya juga tajam melihat kami.

Memberanikan diri, penulis bertanya dari mana asal Tok Guru, namun berkali-kali juga dia enggan memberitahu. Sekadar menunjuk ke tepi dan berkata - "Jauh.... jauh... bukan dari sini." Namun, selepas penulis meneka sama ada Tok Guru dari Gunung Jerai di Kedah kerana ada loghatnya seperti orang Utara, baru dia mengangguk dan berkata: "Cukuplah apa yang cucu tahu itu."

Nyata, apa yang dilihat di kediaman Choo Eng menjawab tanda tanya kami bagaimana masyarakat Cina di situ percaya kepada kaedah rawatan Melayu.

Fakta Gula









Apakah gula?
  • Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh
  • Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan, dalam bentuk fruktosa dan susu, dlam bentuk laktosa.
  • Selain terdapat dalam bentuk semulajadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa pemprosesan yang dikenali sebagai gula tambahan atau free sugar.

Apakah saranan pengambilan gula tambahan?

WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).




Apakah corak pengambilan gula di Malaysia?
  • Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan gula yang ditambah dalam minuman di kalangan orang dewasa ialah sebanyak 7 sudu teh sehari (51g) iaitu 4 sudu teh (21g) gula pasir dan 3 sudu teh (30g) susu pekat manis.
  • Berdasarkan jumlah penduduk seramai 28.31 juta pada tahun 2009 dan pengedaran gula domestik sebanyak 806,381.88 metrik tan, pengambilan gula per kapita sehari pada tahun 2009 adalah 78 gram atau 16 sudu teh sehari atau 16% daripada keperluan tenaga sehari bagi orang dewasa. Jika dicampurkan gula domestik dan gula industri iaitu 1,281, 183.04 metrik tan pada tahun 2009, pengambilan gula per kapita sehari adalah 124 gram atau 25 sudu teh sehari atau 25% daripada keperluan tenaga sehari bagi orang dewasa.

Apakah kesan pengambilan gula secara berlebihan?
  • Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
  • Pengambilan tenaga harian yang berlebihan dalam jangka masa yang panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.
  • Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1% orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan 14.0% pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16.0% (berlebihan berat badan) dan 4.0% (obes).
  • Prevalens pesakit diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih daripada 30 tahun juga telah meningkat daripada 6.3% pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9% pada tahun 2006 (NHMS III).
  • Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukan karies gigi (dental caries). Data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun adalah 76.5% (2005) dan 80.9% dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 6 tahun (1997).

Tips mengurangkan gula

Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat atau air sirap dan kordial.

(a)  Pilih atau sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula

(b)  Gantikan manisan seperti kuih dan kek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan

(c)  Kurangkan kekerapan mengambil makanan yang bergula

(d)  Elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur

(e)  Semak kandungan gula pada senarai ramuan sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai di bahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula merupakan komponen utama makanan tersebut

(f)  Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman

(g)  Minta untuk kurangkan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman

(h)  Periksa kandungan gula dalam label minuman

(i)  Elak mengambil minuman yang bergula di antara hidangan utama dan sebelum tidur

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan


Wednesday, 13 April 2011

Mak Nyah Malaysia tinggalkan suami 'mat salih' kerana disisih

LONDON - Sikap dingin suaminya, Ian Young menjadi punca mak nyah dari Malaysia, Fatine meninggalkan dia dua minggu selepas lelaki Inggeris berkenaan, Ian Young membantunya mendapatkan hak untuk menetap di Britain, lapor sebuah akhbar Daily Mail semalam.

Fatine, 38, akhirnya memutuskan untuk memberi penjelasan tentang punca perpisahan mereka selepas suaminya yang berusia 32 tahun itu mendakwa, dia ditinggalkan tanpa alasan setelah membelanjakan L12,000 (RM59,061) bagi membantu mendapatkan visa isterinya.

Fatine berkata, dia melakukan pengorbanan besar dengan berhijrah ke Britain dan tinggal dengan Young tetapi akhirnya, dia disisihkan lelaki itu.

Suami Fatine sebelum ini bekerja sebagai penyelenggara bangunan sekolah di Derby, England.

"Dia (Young) meminggirkan saya. Amat sengsara apabila lelaki yang anda cintai dingin terhadap anda. Saya berkorban segalanya demi dia," kata Fatine.

Menurutnya, pada malam sebelum dia meninggalkan suaminya, mereka bergaduh besar. Young kemudian bergegas meninggalkan kediaman mereka di Pear Tree, Derby.

"Dia meninggalkan saya tanpa memberikan saya sesen pun," kata Fatine.

Suaminya sebelum ini memberitahu, dia terpaksa menganggur selepas diberhentikan dari tiga buah sekolah di Derby kerana tekanan ibu bapa yang marah dengan gaya hidup homoseks mereka.

Young turut kehilangan rumahnya dan pernah cuba membunuh diri dengan menelan sejumlah pil.

Bibit-bibit cinta pasangan itu bermula apabila Young berkenalan dengan Fatine semasa dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia. Pasangan itu pertama kali berbual di sebuah kedai kopi dan ketika itu, Young tidak tahu bahawa Fatine ialah seorang mak nyah.

Selepas mak nyah itu mendedahkan siapa dirinya yang sebenar, hubungan mereka terus mekar.

Young pernah menjalin hubungan cinta selama lapan tahun dengan seorang wanita tetapi memutuskan untuk menukar selera seksnya selepas bertemu Fatine.

Fatine kemudian berhijrah ke Derby dan pasangan tersebut berkahwin dalam satu majlis sivil di Pejabat Pendaftar Derby pada 2009. Masalah mereka bermula apabila permohonan visa Fatine ditolak oleh Pejabat Dalam Negeri Britain.


Mereka terpaksa mengemukakan rayuan beberapa kali dengan menyatakan, Fatine boleh dipenjarakan jika dia kembali ke Malaysia kerana negara berkenaan melarang hubungan homoseks.

Bagi mengukuhkan alasan mereka, Fatine turut menyatakan, nyawanya terancam sekiranya dia pulang ke Malaysia kerana terdapat ugutan bunuh yang dibuat terhadapnya di sebuah laman web di negara itu.

"Kami terpaksa memohon visa sebanyak lima kali dan kosnya mencecah ribuan pound sterling. Saya pula bekerja sebagai penyelenggara sebuah sekolah kecil dengan gaji cuma L640 (RM3,160) sebulan," kataYoung sebelum ini.

Mengulas mengenai kenyataan suaminya itu, Fatine yang kini tinggal berasingan bersama seorang rakannya memberitahu, dia bukan berkahwin dengan Young semata-mata untuk mendapatkan visa.

"Saya menyintainya bukan kerana visa. Saya tiada rakan, tiada keluarga di Britain, saya terpaksa bergantung hidup sepenuhnya kepada suami saya. Namun, bagaimana kami boleh berbaik semula sedangkan dia (Young) pernah berkata buruk terhadap saya," kata Fatine.

Menurut mak nyah itu, dia sedang mencari pekerjaan untuk memulakan hidup baru di Britain.

Dia kini menyara hidup dengan menerima elaun pengangguran di negara Eropah itu. Nama lelaki FAtine ialah Mohammed Fazdil Min Bahari.

Ketika ditanya sama ada dia mengabaikan isterinya, Young mengakui perkara tersebut pernah berlaku.

"Saya mengaku saya mengabaikan Fatine apabila saya tertekan. Saya juga ingin memberitahunya bahawa kami boleh menempuh segala kesusahan bersama-sama tetapi dia tidak berminat untuk mendengarnya," ujar Young.

"Saya kini cuba memulakan perniagaan sendiri. Ya, saya masih banyak berhutang tetapi saya cuba untuk bangun semula," tambahnya.

Monday, 11 April 2011

Umat Islam dituntut beri panggilan yang baik untuk anak kerana ia juga umpama doa

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah, waba'du. Rasulullah SAW banyak mengubah nama tidak baik maksudnya kepada nama yang baik atau lebih sesuai.

Nama penting kerana pada Hari Kiamat, manusia dipanggil dengan nama sendiri dan nama ayahnya seperti dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya pada Hari Kiamat, kamu dipanggil dengan nama kamu dan ayahmu. Oleh kerana itu, namakan nama kamu dengan nama yang baik."

Kedua, nama mempunyai pengaruh terhadap keperibadian dan merupakan doa seperti diriwayatkan Malik dalam Kitab Muwaththa, daripada Yahya Sa'id, Umar al-Khatthab pernah bertanya seseorang: "Siapa namamu? orang itu menjawab: Jamrah. Umar bertanya lagi: Anak siapa? Orang itu menjawab: Anak Syihab. Umar bertanya lagi: Daripada kabilah mana? Orang itu menjawab: Daripada kabilah al-Harqah. Di mana tempat tinggalmu? Di kampung Nar (api). Umar bertanya lagi: Di daerah mana? Orang itu menjawab: Di Dzati Lazha."

Umar terus berkata kepadanya: "Segeralah pulang. Temuilah keluargamu. Mereka semua terbakar." Ternyata apa yang dikatakan Umar itu berlaku.

Nabi SAW tidak suka dengan nama buruk dan sangat membencinya jika ia digunakan untuk manusia, tempat, kabilah atau gunung. Justeru, banyak nama yang ditukar Rasulullah SAW.

Abu Bakar Munzir meriwayatkan daripada Ali beliau berkata: Ketika Hasan lahir, aku memberinya nama Harb (perang). Kemudian datang Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang kamu berikan? Kami katakan: Harb. Baginda bersabda: "Jangan, dia adalah Hasan."

Ali berkata: "Ketika Husain lahir, aku menamakannya Harb. Lalu datang Nabi SAW, Baginda berkata: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang engkau berikan?" Kami katakan: Harb. Baginda bersabda: Jangan, dia adalah Husain".

Ali berkata: "Ketika anak ketiga lahir, aku memberinya nama Harb juga. Lalu datang Nabi SAW dan bertanya: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang engkau berikan? Kami katakan: Harb. Baginda pun bersabda: Jangan, dia adalah Muhsin. Kemudian Baginda melanjutkan sabdanya: Sesungguhnya aku menamakan mereka seperti nama anak Harun iaitu Syabbar, Syabbir, dan Musyabbir.

Dalam kitab Mushannaf, Ibnu Abu Syaibah ada pula meriwayatkan daripada Khautsamah. Beliau berkata: "Dulu pada masa jahiliah, nama ayahku Aziz, maka Rasulullah SAW mengubahnya menjadi Abdurrahman."

Dalam kitab al-Adab, Imam al-Bukhari meriwayatkan: Ibnu Abdul Rahman Said al-Makhzumi pernah menceritakan sebelumnya beliau bernama ash-Sharm, lalu Rasulullah SAW memberinya nama Said.

Raithah Muslim pernah menceritakan kepadaku daripada ayahnya, beliau berkata: "Saya mengikuti perang Hunain bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya kepadaku: "Siapakah namamu? Saya menjawab: "Ghurab. Baginda bersabda: "Jangan, namamu sekarang ialah Muslim."

Perubahan nama dilakukan selain kerana tidak baik dan makhruh, kadangkala kerana maslahatan lain meskipun nama itu sebenarnya sudah bagus seperti dilakukan Rasulullah SAW ketika mengubah nama Barrah menjadi Zainab kerana Baginda tidak suka mendengar seorang seolah-olah mengaku dirinya suci.

Perkara itu dinyatakan dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah, bahawa Zainab dulunya bernama Barrah. Maka orang berkata: Beliau mengaku dirinya suci. Oleh kerana itu Rasulullah SAW memberinya nama Zainab.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, seorang bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, saya mendapat anak. Nama apakah yang terbaik untuknya? Baginda SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya nama yang baik untuk kamu semua adalah Harits dan Hammam. Nama paling bagus adalah Abdullah dan Abdul Rahman. Berilah nama dengan nama di kalangan nabi dan jangan memberi nama dengan nama Malaikat."

Oleh yang demikian, sekiranya nama itu termasuk dalam nama yang diharamkan, maka sewajarnya nama tersebut perlu ditukar. Wallahua'lam.


Friday, 8 April 2011

Perjuangan wanita belum selesai

Pencapaian wanita dalam pelbagai bidang sejak abad lalu telah melalui satu perjalanan yang sangat jauh, penuh dengan ranjau, onak dan duri. Wanita di negara maju memperoleh keadaan lebih baik kerana mereka telah berjuang lebih awal untuk mendapatkan hak dan memastikan kepentingan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan pekerjaan diberi pengiktirafan oleh kerajaan, institusi dan masyarakat yang umumnya bersifat patriarchical.

Bagi wanita di negara-negara sedang membangun, gerakan dan perjuangan wanita berterusan untuk memastikan kebajikan mereka dijaga dan akses diperoleh dalam pelbagai bidang yang didominasi oleh lelaki. Pun begitu, nasib dan kedudukan wanita dikebanyakan negara Asia, Latin Amerika dan Afrika masih menyedihkan. Mereka berada dalam keadaan yang cukup daif, dibelenggu kemiskinan, kebuluran, tiada akses kepada kemudahan pendidikan, perkhidmatan perubatan dan kesihatan, atau perlindungan perundangan.

Malah wanita dan kanak-kanak terus menerus menjadi mangsa perang dan keganasan. Di Bosnia, Somalia, PAlestin, Afghanistan, Sudan, Iraq, Filipina, Indonesia dan banyak negara Amerika Selatan, wanita terdedah kepada pelbagai keadaan yang cukup sengsara.

Ramai antara kita yang masih mengingati Bibi Aishah. Wajah beliaulah yang terpampang dengan muka berlubang tanpa hidung di muka depan TIME edisi 9 Ogos tahun lepas. Potret itu memenangi Anugerah Foto Press Terbaik Dunia. Bibi Aishah berumur 18 tahun, telah lari meninggalkan rumah suaminya kerana tidak tahan didera dan dipukul.

Puak Taliban telah mencari beliau di kampungnya di Wilayah Oruzgan di Afghanistan dan menuntut beliau diserahkan untuk mengadap pengadilan. Sebaik hukuman dijatuhkan, abang iparnya mengikat beliau sementara suaminya bertindak memotong kedua-dua telinga dan hidungnya.

Beliau terus ditinggalkan, tetapi mujur dibantu beberapa pekerja sukarela yang membawanya ke sebuah rumah perlindungan di Kabul. Dari situ beliau dibawa ke luar negara untuk pembedahan menyambung hidung dan menjalani kaunseling. Dia mengatasi trauma dan kini membina hidup baru di Amerika Syarikat.

Di negara seperti Afghanistan, Pakistan dan India, banyak kisah yang menyerupai cerita Bibi Aishah. Malah, hari ini dianggarkan 7,000 hingga 10,000 wanita mati setiap tahun akibat keganasan rumah tangga. Dalam banyak kes, yamg membunuh dan mencederakan mereka adalah bekas suami atau pasangan mereka sendiri.

Kajian penyelidik University of North London turut mendapati bahawa ribuan kanak-kanak dan remaja perempuan mati setiap tahun kerana dirogol orang yang dikenali. Kajian yang meliputi negara-negara Eropah (UK, Jerman, Sweden, Norway, Sepanyol, Perancis, Belgium), Australia dan India mendapati 95 peratus jenayah penderaan seks dilakukan oleh lelaki.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seorang daripada setiap tiga wanita pernah mengalami atau menjadi mangsa keganasan domestik dalam hidup mereka. Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia, 10 laporan penderaan fizikal, emosi dan seks diterima setiap hari.

Jumlah kes yang dilaporkan pada 2007 ialah 3,756 dan pada 2008 sebanyak 3,769 kes. Pada 2009, bilangan kes yang dilaporkan ialah 3,643 manakala antara Januari dan Julai 2010, sudah sebanyak 1,872 kes. Statistik polis juga menunjukkan seramai 9,575 kanak-kanak perempuan menjadi mangsa rogol antara tahun 2005 dan 2010.

Dalam kes HIV misalnya, 18-20 peratus penghidap penyakit ini di Malaysia adalah wanita, namun tidak ramai yang tahu bahawa setakat ini masih belum ada program yang komprehensif untuk menghalang infeksi HIV dalam kalangan wanita.

Di Kelantan, lebih 700 wanita dijangkiti HIV kerana suami mereka. Apa yang menyedihkan, mereka tidak tahu bahawa bekas suami merupakan penghidap HIV semasa berkahwin dulu. Kesemua mereka kini ialah janda yang didiagnosis menghidap HIV positif. Mereka telah menubuhkan persatuan untuk mendapat pembelaan.

Sudah tentu, ini satu keadaan yang tidak boleh diterima, apatah lagi dalams sebuah negara Islam yang menuju ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Statistik yang dipaparkan ini menuntut kesedaran masyarakat mengenai keadaan yang masih perlu diperbetulkan, termasuk perubahan dari segi sikap, prejudis, perundangan dan persekitaran budaya yang lebih baik dan selamat untuk wanita.

Kerana itulah perjuangan wanita untuk wanita belum selesai.

Memperkasa peranan media sebagai pemberi amaran

Tragedi melanda Jepun yang menggemparkan dan meraih simpati dunia baru-baru ini amat dirasai. Bermula dari gempa bumi, kejadian ombak besar tsunami dan terkini perkembangan dedahan sinaran yang diukur di beberapa lokasi stesen loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi, Jepun menunjukkan kadar yang tinggi daripada normal dan membimbangkan.


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia, berusaha sedaya upaya memberikan maklumat terkini dan terperinci melalui siaran akhbar dan laman sesawangnya tentang isu keselamatan umum.


Laporan media tempatan dan antarabangsa berkenaan isu yang mendapat perhatian antarabangsa ini amat penting dalam mewujudkan kepekaan dan persediaan yang bakal digerakkan apabila berlaku musibah. Oleh yang demikian, organisasi media, khususnya di negara ini perlu melengkapkan diri tentang bentuk laporan yang terbaik kepada pembaca, penonton atau pendengar.


Dalam kes ini, kerjasama dan peranan yang amat penting ditagih daripada Mosti, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia dan organisasi media yang terlibat dalam melapor dan menyediakan bahan berita serta informasi yang mudah difahami umum.


Gabungan tenaga antara Mosti, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia bersama-sama pihak media amat penting dalam siaran berita serta informasi berkenaan isu perkembangan dedahan sinaran yang berlaku.


Wakil daripada organisasi media yang perlu bertugas perlu melengkapkan diri dengan nilai tambah ilmu pengetahuan mereka berkaitan isu terkini melalui pembacaan, perbincangan serta bantuan yang diberikan Mosti, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia. 


Gesaan dan saranan yang dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar kerajaan menghentikan segera idea pembinaan loji nuklear dan empangan besar untuk menangani krisis tenaga perlu dipandang serius.


Dalam konteks agama Islam, Allah melarang sekeras-kerasnya umat-Nya terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan kesihatan diri dan masyarakat umum. Sebagai umat yang bertakwa dan beriman, wajib percaya dan menerima amaran tersebut tanpa perlu berdolak-dalik lagi.


Media massa berperanan menyalurkan maklumat, pendidikan, memujuk selain menghiburkan kumpulan sasarnya. Selain itu, media massa yang matang perlu berperanan sebagai medium pemberi amaran bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat terhadap sesuatu ancaman. Ancaman yang dimaksudkan dalam hal ini adalah dedahan sinaran stesen loji kuasa nuklear.


Tragedi demi tragedi yang menimpa dunia perlu diambil iktibar oleh setiap manusia agar lebih berfikir panjang dan berwaspada  atas musibah yang diturunkan oleh Yang Maha Esa. Masyarakat yang berfikir dan bermuhasabah diri akan mencapai kejayaan jika dapat bertindak secara lebih rasional dengan memikirkan keselamatan diri dan kemaslahatan masyarakat sekitar amnya.


Sebarang bentuk peringatan tentang sesuatu isu terkini perlu diperluas penyebarannya oleh media massa, sama ada elektronik mahupun cetak. Dalam hal ini peranan media amat penting dalam membantu memberikan peringatan terhadap sesuatu ancaman atau kecemasan agar masyarakat tidak menerima tempias secara langsung daripada sebarang bencana. Kesannya, masyarakat akan lebih bersedia akan sebarang kemungkinan dan redha apa yang ditentukan setelah berusaha dan berihktiar untuk mengelakkan sebarang punca kepada musibah.


Media massa menetapkan agenda dalam setiap laporannya, sama ada melalui berita, kempen kesedaran sosial, rancangan di televisyen mahupun radio. Namun, setiap apa sahaja mesej yang disampaikan kepada masyarakat perlu difahami dan berlaku tidak balas atau respons tertentu oleh kumpulan sasaran tertentu.


Oleh yang demikian, mesej yang diterima oleh masyarakat bergantung pada pemahaman dan tafsiran mereka tersendiri dan bergantung pada sesuatu isu yang diketepikan. Media massa tidak lagi terlibat dalam mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh masyarakat keseluruhannya.


Dalam keadaan ledakan maklumat dewasa ini, masyarakat lebih peka dan bijak dalam membuat analisa dan keputusan dalam setiap laporan dipaparkan media massa. Mereka lebih aktif memilih saluran yang ingin dijadikan sebagai 'santapan minda', sama ada media elektronik, cetak dan media baru (teknologi maklumat). Jadi, masyarakat massa akan lebih terarah kepada sesuatu isu yang mereka gemari untuk dibaca, ditonton dan didengar hasil daripada pemilihan sumber media.


Penulis asal: Pensyarah Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Melaka.